
DCD203
Portfolio
Secara kesimpulannya, kami berpendapat bahawa keberkesanan Pentaksiran untuk Pembelajaran (AfL) bergantung pada tiga pihak utama yakni sekolah, guru dan murid. Merujuk pada putaran yang terdapat dalam gambar rajah di atas, kami yakin bahawa pihak sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan AfL di dalam bilik darjah. Dengan sokongan padu daripada pihak sekolah, guru dapat menjalankan AfL kerana keberkesanan AfL hanya dapat dinilai melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan murid. Kemudian, putaran gambar rajah ini kembali kepada bahagian sekolah yang akan menilai sejauh mana AfL berkesan untuk murid. Berdasarkan penilaian ini, pihak sekolah dapat menyesuaikan kurikulum agar guru dapat melaksanakan AfL dengan lebih berkesan.
Kami telah membahagikan konsep-konsep penting AfL kepada tanggungjawab yang harus dimainkan beberapa pihak utama:
- Sekolah
- Guru
- Murid
- Guru dan murid
Sekolah
Pentaksiran berasaskan sekolah:
Pentaksiran ini merupakan penilaian yang ditetapkan melalui perbincangan ketua sekolah dengan ketua-ketua jabatan, yang juga mengambil kira maklum balas guru. Maklum balas guru perlu diambil kira agar pihak sekolah dapat memastikan bahawa penilaian ini disediakan mengikut keupayaan setiap murid, agar murid tersebut berpeluang meningkatkan tahap kebolehan serta pembelajarannya.
Guru
Maklum balas guru yang berkesan:
Maklum balas guru, yang diberikan khusus kepada setiap murid, mengandungi komen, panduan atau saranan untuk memperbaiki tugasan murid tersebut. Maklum balas yang diberikan guru lebih memfokuskan keupayaan murid serta proses pembelajarannya berbanding produk yang telah murid hasilkan.
Menggunakan soalan secara strategik:
Guru harus mempraktikkan strategi menyoal yang menggalakkan pemikiran murid melalui soalan jenis terbuka (contoh: Mengapa awak rasa lukisan ini menarik?) dan bukan soalan jenis tertutup (contoh: Adakah awak rasa lukisan ini menarik?).
Murid
Maklum balas daripada rakan sebaya:
Jika guru memberikan peluang kepada murid untuk memberikan maklum balas kepada rakannya, murid dapat mengambil kira perspektif rakan tersebut. Murid juga dapat mengaitkan dirinya dengan komen atau pendapat yang diberikan rakan sebayanya itu dengan lebih berkesan kerana mereka “berbual dalam bahasa yang sama”.
Pentaksiran kendiri:
Pentaksiran kendiri dijalankan untuk memastikan bahawa murid aktif dalam menggerakkan pembelajarannya sendiri. Murid diberi peluang untuk menilai kebolehan dan kelemahannya justeru dapat mengenal pasti tahap pemahamannya dalam proses pembelajaran.
Guru & Murid
Matlamat pembelajaran:
Pencapaian matlamat pembelajaran memerlukan usaha daripada dua pihak yakni guru dan murid. Guru harus membina objektif pembelajaran yang berfokus pada kemahiran, pengetahuan dan pemahaman murid. Selain daripada memberikan ruang kepada murid untuk mengetahui matlamat pembelajaran, guru perlu membantunya mencapai matlamat pembelajaran tersebut. Seperti contoh, guru dapat membimbing murid dalam pembinaan rubrik yang bersifat analitik mahupun holistik. Murid boleh diajar untuk melakarkan kriteria kejayaan yang menjadi kayu ukur untuk memastikan objektif pembelajarannya tercapai.
Keseluruhan:
Pentaksiran sumatif secara formatif:
Pentaksiran sumatif secara formatif: Pentaksiran ini memerlukan usaha daripada kesemua tiga pihak kerana dengan persetujuan pihak sekolah, guru dapat melakarkan penilaian untuk pembelarajan murid secara berterusan. Dengan penilaian yang konsisten, guru dapat memberikan maklum balas kepada murid tentang prestasi dan kemajuannya. Seperti contoh, pentaksiran sumatif boleh dijalankan secara formatif dengan adanya perbincangan khusus sebelum dan selepas pelaksanaan sesebuah ujian. Bagi pihak murid, dengan pemerolehan maklum balas mengenai kelemahan dan kekuatannya, murid dapat memanfaatkan maklum balas tersebut untuk meningkatkan keupayaannya dengan mengubah atau memperbaiki proses pembelajarannya.
Rajah Pentaksiran untuk Pembelajaran