top of page

Penggunaan Rubrik

3 perkara yang kami sudah tahu sebelum ini

Pembinaan Rubrik:

Kami pernah didedahkan kepada cara-cara yang berkesan untuk membina rubrik bagi murid pada semester yang lalu. Contohnya, bagi bahagian prestasi, guru perlu elak daripada menggunakan kosa kata seperti ‘lemah’ kerana kata seperti ini akan menjejas emosi murid sekiranya murid itu berada di dalam lingkungan julat yang kurang baik. Oleh itu, semasa kami membina rubrik untuk aktiviti ‘Tunjuk & Ujar’ ini, kami lebih peka sewaktu menetapkan prestasi dan julat bagi rubrik tersebut. Kami telah menggunakan prestasi yang bermula dengan tahap sederhana, baik dan cemerlang berbanding dengan yang lazim digunakan yakni bermula dengan lemah, sederhana dan baik.



Pembelajaran Kooperatif:

Penghasilan kriteria, prestasi serta julat secara bersama dalam beberapa kumpulan kecil merupakan salah satu contoh pembelajaran kooperatif yang sangat berkesan. Setiap kumpulan diberikan masa untuk merundingkan dan menetapkan kriteria yang ingin dinilai bagi aktiviti ‘Tunjuk & Ujar’. Dengan cara ini, mereka yang kurang pasti dalam penghasilan rubrik akan dapat mempelajarinya daripada rakan-rakan yang lain. Setelah itu, melalui teknik Round Robin, kami mengambil giliran untuk membuat pembentangan mini yang bertajuk ‘Perkara yang Menarik ketika Menyambut Syawal’. Justeru, kaedah pembelajaran kooperatif meluaskan pengetahuan kami mengenai suatu topik kerana melalui pembentangan ini, kami memperolehi perspektif yang berbeza mengenai topik tersebut.

Matlamat pembelajaran:

Kami pernah diberitahu dalam salah satu modul semester lalu bahawa sebagai guru, kita perlu mengongsi matlamat pembelajaran dengan murid dalam setiap sesi pengajaran agar murid tahu apa yang akan dipelajarinya serta sedar akan apa yang guru kehendaki pada akhir pengajaran tersebut. Oleh itu, aktiviti pembinaan kriteria kejayaan yang dijalankan sebelum aktiviti ‘Tunjuk & Ujar’ merupakan salah satu contoh bagi menyampaikan objektif pelajaran pada hari itu. Kami bekerjasama untuk menghasilkan kriteria yang mampu dicapai murid dalam aktiviti tersebut. Hasilnya, kami lebih berkeyakinan untuk melaksanakan aktiviti itu kerana kami tahu akan matlamat pelajarannya. Justeru, aktiviti ini membina pengetahuan sedia ada kami mengenai pengongsian matlamat pembelajaran dengan murid.

2 perkara yang kami pelajari

 

Penilaian rakan sebaya:

Kami mempelajari bahawa penilaian rakan sebaya melalui kaedah rubrik sangat berkesan untuk membina tahap kebolehan murid. Menerusi aktiviti ‘Show & Tell’ yang dijalankan, diskusi dalam kumpulan kecil bagi menetapkan kriteria kejayaan dan jumlah markah sebelum aktiviti dijalankan sangat membantu kerana mereka menjuruskan matlamat aktiviti tersebut kepada apa yang telah dilakarkan dalam kriteria kejayaan. Selain itu, maklum balas yang diberikan oleh rakan sebaya akan banyak membantu memperlihatkan kebolehan serta kekurangan yang boleh diperbaiki oleh diri seseorang itu. Namun demikian, sekiranya kami ingin mengaplikasikan kaedah ini, satu perkara yang mungkin akan timbul ialah murid tidak dapat menerima komen yang negatif daripada rakan sebaya. Oleh itu, sebagai guru, kami harus mengajar murid untuk menyampaikan komen dalam nada positif serta mengingatkan murid untuk menerima segala komen sebagai kritikan yang membina dan bukan mengambilnya sebagai sesuatu yang negatif.



Penilaian Kendiri:

Sebelum pembentangan ‘Tunjuk & Ujar’ dijalankan, kami diminta untuk menilai sendiri produk yang telah dihasilkan. Setelah itu, rakan yang lain akan menilai dan memberikan komen mengenai pembentangan yang telah ditunjukkan. Kami merasakan bahawa penilaian kendiri ini sangat penting kerana kami dapat menilai karya kami secara jujur dan mengenal pasti prestasi kami sendiri berbanding jika karya kami dinilai melalui kaca mata orang kedua. Melalui rubrik ini juga, kami dapat lihat perbandingan serta perspektif rakan sebaya serta meningkatkan kebolehan diri melalui apa yang telah disarankan oleh teman-teman yang lain.

1 perkara yang kami ingin cuba. Mengapa?



Mengajar pelajar menghasilkan rubrik:

Kami ingin mengajar murid bagaimana untuk menghasilkan rubrik apabila kami ke sekolah kelak. Rubrik memudahkan pelaksanaan penilaian kendiri serta penilaian rakan sebaya untuk dijalankan di dalam bilik darjah kerana murid sudah mengetahui bagaimana untuk menetapkan kriteria, prestasi dan julat yang sesuai. Penilaian kendiri dan rakan sebaya juga sangat berkesan kerana murid menetapkan sendiri kriteria yang boleh diuji. Bagi kami, cara ini sangat efektif dan pastinya membantu murid mencapai tahap kebolehannya. Penilaian ini juga selari dengan objektif AfL yang menginginkan pelajar untuk memahami kehendak tugasan. Justeru, murid akan berasa lebih bertanggungjawab ke atas pembelajarannya.

Copyright 2013 Portfolio DCD203. 

bottom of page