top of page

Penyoalan Strategik

3 perkara yang kami sudah tahu sebelum ini



Pembelajaran Kolaboratif:

Kami telah disuruh mengongsi pendapat serta apa yang kami tahu mengenai sebuah topik pilihan, supaya setiap ahli kumpulan dapat membina pengetahuan itu bersama dan dapat membantu antara satu sama lain untuk mengembangkan pengetahuan berkenaan topik tersebut.



Strategi Menyoal:

Kami pernah mempelajari tentang kepentingan menujukan soalan yang bermakna agar dapat membimbing murid untuk lebih memahami dan mendalami ilmu yang disampaikan. Kami sedia maklum bahawa untuk menggerakkan pemikiran murid, guru perlu bertanya soalan terbuka seperti, “Apakah perkara menarik yang dapat awak lihat?” dan bukan soalan tertutup seperti “Awak faham?”. Soalan tertutup seperti ini tidak memberikan ruang kepada murid untuk meluaskan pemahamannya kerana murid hanya perlu menjawab “Ya” atau “Tidak”.



Pentaksiran untuk Pembelajaran:

Memandangkan kami telah didedahkan kepada konsep-konsep asas AfL, kami sudah mempunyai pengetahuan asas mengenainya. Tutorial yang dijalankan meningkatkan pengetahuan kami mengenai AfL kerana aktiviti soal-menyoal ini telah membantu kami untuk mengaitkan strategi menyoal dengan AfL.

2 perkara yang kami pelajari


Peranan Watak:

Aktiviti ini amat menarik kerana kami telah pelajari tentang peranan watak yang boleh dimainkan setiap ahli kumpulan supaya perbincangan kumpulan bermanfaat dan seimbang dari segi pengongsian. Kami juga sedar akan kepentingan peranan-peranan tersebut sewaktu perbincangan sedang dijalankan. Contohnya, Pencerakin Idea harus sentiasa peka dan dengarkan idea-idea yang diberikan serta mencungkil lagi idea yang lain, manakala Penggerak Perbincangan harus sentiasa menyoal untuk menggerakkan perbincangan. Kami juga mempelajari adab menyoal, iaitu memberikan perhatian sepenuhnya kepada ahli yang sedang menjawab sebagai tanda hormat, dan bukan sibuk mengambil nota dan mencari-cari soalan lain untuk ditanyakan kepada kumpulan.

Penilaian Kendiri:

Setelah aktiviti tutorial dijalankan, setiap seorang daripada kami telah diberikan borang penilaian kendiri untuk diiisi. Borang ini adalah untuk menguji tahap pemahaman kami terhadap aktiviti tersebut. Pada pendapat kami, borang penilaian kendiri ini sangat membantu kerana murid yang lebih pendiam dapat menyuarakan pendapat atau saranan mereka melalui borang ini. Murid yang lebih pendiam itu juga akan berasa lebih selesa kerana diberikan ruang privasi dan tidak diganggu ketika sedang mengisi borang penilaian kendiri itu.

1 perkara yang kami ingin cuba. Mengapa?



Menjalankan aktiviti ini di dalam kelas:

Kami ingin menerapkan konsep aktiviti menyoal sewaktu perbincangan ini di dalam bilik darjah apabila kami mengajar kelak, dengan membuat beberapa pengubahsuaian seperti menyediakan soalan-soalan yang lebih mudah supaya murid dapat melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti tersebut. Kami berpendapat bahawa aktiviti ini dapat membantu murid menjalankan perbincangan dengan lebih teratur dan adil kerana aktiviti ini memerlukan penglibatan semua ahli kumpulan, justeru tidak memberi ruang kepada ‘free-riders’. Selain daripada itu, murid dapat belajar daripada satu sama lain, justeru membina ilmu dan meningkatkan zon perkembangan proksimalnya. Perkara ini dapat menggalakkan sikap bekerjasama dan saling tolong-menolong di dalam sebuah kumpulan.

Copyright 2013 Portfolio DCD203. 

bottom of page