
DCD203
Portfolio
Perbincangan Kumpulan
3 Perkara yang Kami Sudah Tahu Sebelum Ini
Scaffolding:
Di dalam tutorial ini, kami telah berbincang mengenai tugasan portfolio kumpulan kami. Antara perkara yang telah kami bincangkan ialah pemilihan tiga bahan yang ingin kami muatkan ke dalam portfolio, sumber rujukan untuk portfolio tersebut, pengagihan tugas serta cabaran projek ini dan bagaimana kami dapat mengatasinya. Perbincangan kami dibantu oleh borang perancah supaya kami dapat merakam hasil perbincangan kami. Borang tersebut sangat membantu dalam memandu perbincangan kami agar perbincangan kami lebih terarah dan berstruktur.

Think-pair-share dalam bentuk kumpulan:
Aktiviti ini sering kami lakukan sewaktu di dalam tutorial dan kami dapati aktiviti ini sangat bermanfaat kerana guru menyediakan peluang untuk kami bertukar pendapat serta mengongsi ilmu dan idea, bukan sahaja dengan rakan-rakan kumpulan tetapi juga dengan kumpulan lain. Ahli kumpulan lain memberikan cadangan atau komen yang mereka tulis di kertas berbincangan kami, justeru meningkatkan zon perkembangan proksimal kami.


Guru memberi rumusan selepas perbincangan:
Di akhir kelas, Cikgu Rosza telah merumuskan tujuan dan kepentingan tugasan secara menyeluruh serta menjawab pertanyaan guru-guru pelatih mengenai tugasan portfolio dengan sangat jelas. Pada hemah kami, di dalam sebuah pengajaran, rumusan mempunyai kepentingan yang sama dengan pengenalan. Rumusan melengkapkan pengajaran tersebut dan mengingatkan murid kembali akan objektif pembelajaran. Guru perlu memberikan rumusan yang baik untuk mengukuhkan pemahaman murid mengenai tugasan yang perlu mereka lakukan serta membetulkan sebarang salah tanggapan jika ada.
2 Perkara yang Kami Pelajari
Berkongsi idea bersama kumpulan-kumpulan lain:
Setelah waktu perbincangan tamat, setiap kumpulan memilih dua wakil untuk mengongsi hasil perbincangan dengan kumpulan lain serta mendapatkan penjelasan bagi pemilihan bahan daripada kumpulan tersebut. Selain itu, para wakil dikehendaki memberikan maklum balas terhadap borang kumpulan yang dikunjungi agar kumpulan itu boleh memperbaiki rancangannya. Pengongsian ini menarik kerana biasanya, setiap kumpulan akan ‘merahsiakan’ perbincangan mereka supaya kumpulan lain tidak dapat ‘menandingi’ kumpulannya. Namun, pengongsian ini membuktikan bahawa dengan berkongsi ilmu, kita bukan sahaja memberi manfaat tetapi kita dapat memanfaatkan input kumpulan lain untuk memperbaiki kualiti tugasan kita.

Pembahagian tugas di dalam kumpulan:
Di dalam kumpulan masing-masing, Cikgu Rosza telah peruntukkan masa untuk semua kumpulan berbincang mengenai pembahagian tugas. Sesi ini bukan hanya menjimatkan masa, malah memberi kami peluang untuk berbincang bagaimana kami dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menjalankan tugasan ini. Seperti contoh, kekuatan Fatimah terletak pada pengendalian wadah informasi teknologi (IT) justeru beliau ditugaskan untuk mengendalikan portfolio kumpulan di lelaman Wix. Di dalam konteks pembelajaran murid-murid di dalam bilik darjah, kami berpendapat bahawa masa yang diberikan untuk perbincangan sebegini penting kerana kadangkala murid-murid memerlukan bantuan guru untuk menerajui perbincangan mereka. Sekiranya guru tidak memberikan murid-murid masa untuk berbincang mengenai pembahagian tugas, murid-murid boleh mengalami konflik, tugasan yang diagihkan tidak seimbang, atau kumpulan itu tidak berbincang langsung. Justeru, borang perbincangan adalah mustahak agar guru dapat memantau perkembangan kumpulan tersebut serta bantu menangani konflik yang berlaku di dalam sebuah kumpulan.


1 Perkara yang Kami Ingin Cuba. Mengapa?
Menyediakan borang perbincangan untuk murid-murid:
Dengan menyediakan borang ini, perbincangan murid-murid akan menjadi lebih terpandu dan berstruktur. Tanpa borang perbincangan ini, murid-murid mungkin tidak pasti tentang apa yang perlu dibincangkan, justeru perbincangan tersebut boleh berubah menjadi perbualan kosong. Borang perbincangan ini juga bermanfaat kepada guru kerana guru boleh perolehi dapatan perbincangan setiap kumpulan memandangkan borang tersebut mengandungi perancah yang dapat membantu murid-murid dalam perbincangan mereka.